Tuesday, September 8, 2009

MEDIA ADA AGENDA POLITIK DI TERENGGANU?

Satu pertanyaan yang timbul dalam kepala otak saya membaca laporan akhbar nasional atau tempatan akhir minggu ialah ialah apakah ada agenda tertentu dalam laporan beberapa akhbar mengenai politik Terengganu?

Memang wujud kemelut tetapi bukan pertelingkahan. Kenapa bukan pertelingkahan? Ia adalah serangan satu pihak kepada pihak yang lain. Pihak yang diserang tidak menyerang balas dan dengan kata lain ia hanya serangan sebelah pihak.

Kenapa wujud serangan? Ia kerana mahu supaya Datuk Ahmad Said diturunkan daripada kerusi Menteri Besar.

Tidak ada sebab lain dan itulah satu-satunya sebab!

Maka bermacam-macam cara dilakukan oleh pihak-pihak tertentu bermula dengan permainan terancang yang tidak diketahui asal puncanya.

Keadaan menjadi semakin kalut apabila akhbar nasional yang kini semakin menurun edarannya berbanding Harian Metro dan Utusan Malaysia – Berita Harian – membuat laporan yang jauh menyimpang.

Bukan sekali tetapi berkali-kali – daripada pertukaran pegawai kanan kerajaan negeri hingga kepada bantuan beg dan baju sekolah – laporan yang mempunyai agenda dibuat terhadap kerajaan negeri.

Namun kali ini rasanya kerajaan negeri tidak akan mendiamkan diri.

Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Kuala Berang bersama-sama Datuk Seri Hishamuddin Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, ada semacam mainan.

Berita Harian dan Sinar Harian (tidak hairan kerana akhbar ini ada agenda politik sendiri) membuat laporan yang bersifat ‘spin’ dan ulasan serta rencana pula perlu dicara secara ‘read between the lines’.

Persoalan besar ialah mengenai kehadiran ADUN dan Exco ke majlis di Kuala Berang itu.

Apa yang tidak kenanya? Yang tidak kenanya ialah laporan seolah-olah Ahmad Said dipulaukan dan kehadiran Muhyiddin tidak penting untuk ‘menyatukan sementara’ kumpulan yang menentang Menteri Besar berkenaan.

Maka wujudlah laporan kononnya majlis di Kuala Berang Khamis lalu tidak dihadiri oleh mereka yang menentang Ahmad Said.

Berita Harian yang laporannya ditulis oleh Kamal Ahmad, Abdul Halim Yusoff dan Hanneeyzah Bariah Baharin menyebut Exco yang hadir ialah Rozi Mamat (Telemong), Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu), Datuk Za'abar Mohd Adib (Rantau Abang), Yahya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan) dan Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) serta ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar .

Sementara ADUN yang tidak hadir ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Ramlan Ali (Jabi), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Alias Abdullah (Alor Limbat), Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut), Khazan Che Mat (Batu Rakit), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Pehemi Yusoff (Kota Putera), Rosli Othman (Kemasek), Zakaria Abdullah (Paka), Ashaari Idris (Langkap) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut)

Dua Exco tidak hadir ialah Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) dan Khazan Che Mat (Batu Rakit), manakala Toh Chin Yau (Bandar) dari MCA.

Itu kata Berita Harian.

Untuk berlaku adil kepada Muhyiddin, Hishamuddin dan Ahmad Said, hanya lima ADUN sahaja tidak adil iaitu Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang) dan Zakaria Abdullah (Paka).

Idris kemudian hadir pada majlis bersama keluarga angkat dan sahur di Setiu.

Sementara Exco kerajaan seperti Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut), dan Ashaari Idris (Langkap) hadir pada majlis itu. Tidakkah dengan mengatakan Exco berkenaan tidak hadir, ia mencemarkan nama dua Exco berkenaan. Jangan main-main, ini majlis Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Persoalannya kenapa Khazan Che Mat (Batu Rakit) tidak hadir? Beliau sebenarnya mempunyai tugas mempersiapkan program di Setiu yang dihadiri oleh Hushamuddin pada malam dan paginya.

Muhammad Ramli Nuh (Tepuh) ?Beliau mewakili Menteri Besar ke satu majlis di Kuala Lumpur.

Soalan lain kenapa tidak laporkan kedatangan adalah di luar jangkaan? Lebih 5,000 orang?

Buktinya? Makanan yang disediakan pada majlis itu tidak cukup dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tidak mengadu pun mengenai makanan yang terpaksa dikurangkan kerana kehadiran ramai lebih penting.

Pada bulan yang mulia ini sewajarnya media jangan turut menjadi pengadu-domba kerana akhirnya yang rugi bukan Ahmad Said tetapi imej UMNO itu sendiri.

Tidak tahulah sekarang sama ada Berita Harian bukan lagi menjaga kepentingan UMNO, sebaliknya memainkan peranan lain yang rasanya jika berterusan akan menjejaskan imej parti berkenaan yang sudah pun tercemar kerana kalah dan kalah dalam pilihan raya kecil.

Apakah media kawalan UMNO itu turut memainkan peranan untuk menjejaskan peluang UMNO menang di Terengganu? Mohon maaf kepada saudara Mior Kamarul Shahid, pengarang kumpulan kerana saya terpaksa mengatakan apa yang saya rasa dan beberapa yang lain turut merasanya.

Jika tidak percaya tunggulah dalam sehari dua ini mungkin ada kenyataan yang lebih besar daripada entri ini.

sumber: http://hambali1.blogspot.com/2009/09/media-ada-agenda-politik-di-terengganu.html

No comments:

Post a Comment