Saturday, July 4, 2009

Perunding UK dilantik siasat bumbung stadium runtuh

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu melantik sebuah pakar perunding dari United Kingdom (UK) bagi menyiasat punca sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, runtuh pada 2 Jun lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata perunding itu yang mempunyai cawangan di Kuala Lumpur dijangka menyerahkan hasil siasatan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Kita bersetuju melantik sebuah firma dari United Kingdom untuk mengendalikan kerja-kerja siasatan runtuhan bumbung stadium itu," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi pada 2 Jun lalu, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, hampir musnah apabila kira-kira 60 peratus struktur bahagian bumbungnya runtuh.

Stadium berharga RM292 juta itu baru siap kira-kira setahun lalu dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, stadium itu ditutup sehingga kerja-kerja membaikpulih dilakukan sepenuhnya dan ia akan dibuka selepas mendapat jaminan keselamatan daripada kontraktor yang dilantik.

Katanya, kerajaan Terengganu bersetuju melantik perunding swasta itu kerana berpendapat perlunya dua pihak yang menjalankan siasatan tersebut, iaitu bagi kerajaan pusat dan negeri.

Beliau berkata, segala perbelanjaan untuk khidmat perunding dari UK itu akan dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, beberapa gelanggang yang ada di stadium itu seperti gelanggang skuasy dan bola sepak terpaksa ditutup dan kejohanan-kejohanan yang sepatutnya diadakan di situ, dipindahkan ke tempat lain. - Bernama

sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Mutakhir/20090704163945/Article/index_html

No comments:

Post a Comment