Sunday, June 14, 2009

MB MESRA RAKYAT


Sekali lagi Rabu lalu saya berada di Kuala Terengganu. Saya yang baru tiba dari Kuala Lumpur pada jam 7 pagi terus check in di sebuah hotel dua bintang apabila semua hotel murah di bandar itu penuh di musim cuti sekolah.

Tujuan kedatangan saya ke ibu negeri Terengganu itu untuk menemui Menteri Besar, Datuk Ahmad Said. Kebetulan beliau adalah bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman apabila saya menang bertanding jawatan ahli jawatankuasa pemuda pada tahun 1995. Beliau melantik saya sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman selepas dipilih jawatan ahli jawatankuasa.

Ketika beliau jadi Exco, beliau pernah menolong saya. Sebagai Menteri Besar, inilah kali pertama saya mahu minta pertolongannya. Sejak beliau menjadi Menteri Besar mulai 23 Mac 2008, inilah kali kedua saya menemuinya. Kali pertama pada bulan Mei tahun lepas. Saya mahu temuinya di pejabatnya tetapi orang terlalu ramai menyebabkan saya tak sempat menemuinya di pejabat. Saya terus menemuinya di rumahnya sebelah malam bersama Mubin Ismail dan Othaman Ibrahim.

Rabu lalu adalah kali kedua saya datang ke pejabatnya. Hari itu saya datang awal kerana ingatkan beliau akan masuk pejabatnya terlebih dahulu sebelum mempengerusikan mesyuarat Exco pada jam 9.30 pagi. Apabila bodyguardnya, Abu Bakar tiba jam 9.30 pagi, Bakar beritahu bahawa MB akan masuk pejabat selepas mesyuarat Exco, saya terus beredar dari situ ke Hotel Perimula menemui Hambali Latif yang menemui seorang rakannya dari Kuala Lumpur.

Selepas selesai menemui Hambali, beliau hantar saya balik ke hotel untuk caj bateri handphone yang tinggal satu bar. Jam 12.30 tengah hari saya ke pejabat MB semula dengan Othaman. Ramai kawan-kawan wartawan yang mahu hadiri sidang akhbar MB saya temui seperti Khalid Abdullah dari RTM, Aziah dari Utusan Malaysia, Khairul dari Harakah dan Shahrom dari TV3. Shahrom pernah bernikah dengan anak saudara janda saya (arwah Noriah). isteri Shahrom sudah lama meninggal dunia, lebih awal meninggal dunia dari janda saya yang meninggal tiga tahun lepas. Kahlid bercerita pengalamannya baru balik dari Surabaya manakala Aziah cerita pengalamannya baru balik dari Bangkok.

Hambali mengajak saya masuk sama sidang akhbar MB tetapi saya seganlah kerana saya bukan lagi editor akhbar WATAN (sudah sebulan lebih WATAN tidak diterbitkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan). Lagipun tujuan saya menemui MB bukannnya untuk mewawancaranya tetapi kerana urusan lain.

Menurut seorang kakitangan pejabat MB, Tengku Shamsuddin Tengku Ibrahim, setiap Rabu memang ramai orang yang mahu menemui MB. Ahmad Said meneruskan tradisi di zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang mudah ditemui rakyat setiap kali berada di pejabat. Wan Mokhtar akan melayan setiap karenah rakyat yang terdiri dari pelbagai lapisan yang mahu menemuinya.

Pada hari Rabu lalu, saya kira hampir 100 orang yang mahu menemui MB termasuk ibu yang membawa anak kecil, orang cacat yang berkerusi roda dan orang buta. Oleh kerana orang terlalu ramai maka MB terpaksa memanggil enam orang sekali gus ke biliknya untuk melayan kehendak mereka. Turut kelihatan beberapa orang bekas YB yang mahu menemui MB termasuk bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Engku Bijaya Sura Datuk Syed Omar Syed Mohamad dan bekas ADUN Rantau Abang, Shafie Daud.

Jam 5 petang, perjumpaan orang ramai dengan MB terpaksa ditangguhkan sebentarkerana MB ada temujanji dengan Menteri Belia dan Sukan yang baru sudah melawat bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh.

Pada jam 5.45 petang apabila Shabey beredar dari pejabat MB, perjumpaan MB dengan rakyat diteruskan. Shabery turut terkejut melihat betapa ramainya rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat yang ingin menemui MB.

Inilah kelebihan Ahmad Said yang mesra rakyat. Beliau meneruskan tradisi Wan Mokhtar yang mudah ditemui. Sebagai anak penyadap kelapa, Ahmad tahu betapa susahnya rakyat datang dari jauh mahu menemuinya. Kadangkala masalah mereka boleh diselesaikan oleh ADUN mereka, tetapi mereka lebih suka mengadu masalah mereka kepada MB. MB terpaksa melayan mereka walaupun beliau penat selepas menghadiri mesyuarat Exco.

Jam 7 petang, baru saya berpeluang menemui MB. Ketika saya balik masih ada 30 orang yang belum menemui MB termasuk Ali Nathan dari Kijal dan Pak Awi dari Kerteh. Saya pun tak pasti pukul berapa MB balik dari pejabatnya pada hari tersebut.

Stail Ahmad Said melayan rakyat setiap hari Rabu tidak mungkin ditemui di pejabat MB lain di Semenanjung. Ketika Datuk Seri Salleh Said Keruak menjadi ketua Menteri Sabah, beliau melayan rakyat sehari dalam seminggu di bangunan Yayasan Sabah. Saya tak pasti Datuk Seri Musa Aman mencontohi tindakan Salleh ini.

Kalaulah ini stail Ahmad Said melayan rakyat, rakyat suka kepadanya walaupun 18 orang ADUN tidak menyukainya. Oleh itu teruskanlah sikap mesra rakyat ini.

Cuma saya ingin mencadangkan supaya biar kerani yang jaga kaunter di pintu masuk pejabat MB memberi keutamaan kepada yang datang terlebih awal mengikut giliran. Saya tengok pada hari Rabu lalu ada yang dapat giliran lebih awal sedangkan orang itu baru sampai. Macam saya tak kisahlah menunggu dari jam 12.30 tengah hari hingga 7 petang, kerana saya nak tengok gelagat orang ramai.

Kalau saya nak jumpa MB lebih awal memang boleh, kerana Hambali ajak saya masuk sidang akhbar tetapi biarlah saya ikut giliran supaya saya tahu betapa susahnya orang kampung menunggu giliran untuk menemui MB.

Syabas saya ucapkan kepada Ahmad Said, MB yang mesra rakyat!

No comments:

Post a Comment