Tuesday, May 19, 2009

Analisis: Jentera BN Terengganu mula bangkit

sumber: http://www.bharian.com.my/klikkhas/pilihanraya/Berita/Rencana/20080305103328/Article/indexrencana_html

Oleh Zulkofli Jamaludin
KETIKA berkempen dari rumah ke rumah Isnin lalu, seorang bekas buruh paksa di Burma (Myanmar), Osman Abdul Rahman, 104, membisikkan sesuatu ke telinga Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.


Beliau meminta calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Marang itu menulis petua untuk menguatkan semangat Dr Ahmad Ramzi, yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh itu, menghadapi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Ketika Ahmad Ramzi dan calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Razali Idris berkunjung ke rumah Osman di Pulau Kerengga, Marang, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, warga emas itu berbaring di wakaf depan rumahnya dengan mengenggam bendera Umno dan BN yang berlipat.

“Pak cik sejak 11 pilihan raya umum lalu adalah penyokong BN yang dulunya dipanggil Perikatan,” kata anak Bugis yang masih ingat bagaimana pemimpin negara menuntut kemerdekaan daripada Inggeris.

Pertemuan dengan warga emas yang sudah menetap di Terengganu sejak 50 tahun lalu itu adalah sebahagian usaha Dr Ahmad Ramzi, lulusan ijazah kedoktoran Perancangan Strategik (PhD) Universiti Edinburgh, Scotland untuk menemui seramai mungkin pengundi daripada 74,813 di Parlimen Marang.


Majoriti pemilih di Parlimen itu adalah wanita yang mewakili 51 peratus atau 37,987 orang, yang dilihat boleh memberi mandat sekali lagi kepada BN di kerusi panas Parlimen kerana silih berganti dimenangi calon Umno dan pembangkang.


Dr Ahmad Ramzi yang juga memperoleh ijazah sarjana muda pengkhususan pengajian bahasa Arab dari Universiti al-Azhar, Mesir dan Sarjana Pentadbiran di Universiti Putra Malaysia (UPM) dianggap calon berpotensi besar kerana mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab dengan baik.


Bekas pensyarah di Kolej IKIP, Kuantan itu dilihat mempunyai kekuatan tersendiri terutama daripada pengaruh bapanya, Allahyarham Datuk Dr Mohamad Zubir Awang yang pernah menjadi Mufti Terengganu pada 2004 hingga 2006.


Melihat kepada kelulusan akademik, semangat serta komitmen terhadap tugasan yang digalas sebelum ini, Dr Ahmad Ramzi bersama calon baru seperti Razali dan Zaidi Muda (DUN Bukit Payong) serta dua penyandang - Yahaya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan) dan Alias Abdullah (Alur Limbat) - banyak pembangunan boleh dibawa kepada penduduk daerah Marang yang majoritinya Melayu.


Ada pihak mendakwa peluang calon muka baru itu untuk mengulangi kejayaan Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menewaskan Abdul Hadi dengan majoriti 140 undi adalah 40-60.
Ketika Gelombang Biru berada di puncak, BN hanya mampu meraih majoriti tipis di Parlimen Marang, inikan pula ketika panglima atau ‘giant killer’ yang digugurkan selepas menewaskan Abdul Hadi dua kali masih `berduka'.


Tinjauan mendapati bendera dan poster calon BN jauh ketinggalan dan sepanjang jalan dari sempadan daerah Marang-Kuala Terengganu sehingga Kampung Kijing sejauh kira-kira enam kilometer hanya bendera pembangkang berkibar megah.


Bagaimanapun, ia adalah kebiasaan di daerah Marang yang menjadi kubu kuat Pas. Parti pembangkang itu memang menjadikan jalan utama ke Kuala Terengganu sebagai sasaran mereka memasang bendera dan poster untuk menunjuk kekuatan mereka setiap kali pilihan raya umum. Malah, sebuah jambatan di Marang memang di bawah kawalan mereka sehingga petugas BN tidak dibenarkan memasang bendera.


Peluang Pas tidak semudah menawan jambatan Marang untuk menguasai semula tiga DUN dan Parlimen Marang. Sindrom ‘senyap’ tunggu dan lihat petugas BN sebagai tanda protes selepas penamaan calon tempoh hari berakhir dan mereka mula bekerja bagi memastikan BN mencatatkan kemenangan.


Pas dilihat hanya mampu memberi saingan sengit di 10 daripada 32 kerusi DUN seperti Rhu Rendang, Batu Buruk, Manir, Wakaf Mempelam, Bukit Payung, Pangkalan Berangan, Teluk Pasu, Jabi, Sura, Ladang dan Tepoh. Namun, berdasarkan pengalaman lalu, jentera BN pada peringkat akar umbi mampu menukar senario itu pada saat akhir sebelum pengundian jika mereka berusaha bersungguh-sungguh.


Pemimpin yang setia kepada parti dengan kedudukan mereka sebagai ketua bahagian dan pengarah pilihan raya Parlimen tidak harus membakar jambatan jika tidak dicalonkan. Sebaliknya, mereka harus mengetuai kempen bersungguh-sungguh bagi memastikan calon BN dalam bahagian masing-masing menang majoriti lebih besar.


Walaupun beberapa ketua bahagian yang digugur atau tidak dicalonkan mulanya kecewa dan bersikap dingin, mereka juga sedar kesannya kepada parti jika BN tewas kepada Pas. Mereka juga sedar ketika pertama kali menjadi calon dan menang dulu, pemimpin lama yang digugurkan turut bekerja keras untuk memastikan kemenangan.


Kerana itu, beberapa ketua bahagian yang tidak dicalonkan berkempen sama kuat seperti mereka menjadi calon. Ketua Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan dan Ketua Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid Wan Salleh yang tidak dicalonkan adalah antara yang bekerja keras bagi memastikan kemenangan kerusi di bahagian masing-masing.


“Saya dah buat apa yang termampu. Saya tidur tiga jam sehari, jumpa calon tiap-tiap malam. Saya hadir program dengan rakan komponen BN. Saya ikut calon dari rumah ke rumah, saya lawat markas BN. Selebihnya saya serah pada rakyat," kata Wan Farid.


Semangat inilah perlu ada pada pemimpin dan ahli Umno jika mahu melihat BN terus bertapak kukuh di Terengganu dan memastikan agenda pembangunan tidak pernah diimpikan dapat direalisasikan.

No comments:

Post a Comment