Rabu, Mei 13, 2009
Polis yang mendapat maklumat Ahmad Ramzi tiba dari Kuala Lumpur jam 5 pagi dan menginap di hotel itu, menahannya bagi membantu siasatan kes penghantaran SMS ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), pada 14 April lalu.
Yang anehnya kenapa Dr Ramzi tidak balik ke rumahnya setibanya dari Kuala Lumpur. Sebaliknya beliau menginap di hotel sedangkan pihak polis sudah lama mengekorinya. Nampak sangat tindakan Dr Ramzi kurang bijak. Sepatutnya beliau menyerah diri dari awal lagi kepada polis untuk memudahkan siasatan polis.
Kita bukannya menuduh Dr Ramzi menjadi dalang dalam sebaran sms ini kepada tiga orang ADUN. Tetapi jika beliau tidak bersalah, kenapa beliau takut menyerah diri kepada polis sehingga polis terpaksa mengeluarkan waran tangkap kepadanya.
Kita berharap pihak polis dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin kerana ia sedikit sebanyak telah mencemari nama baik Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang mana kononnya sms itu dihantar oleh SUSK beliau, Wan Ahmad.
Sehubungan dengan itu kita berharap pihak polis dapat menyiasat kes ini secara adil dan hasil siasatan ini dapat membersihkan nama Wan Ahmad yang telah tercemar.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II, Hamzah Mohd Jamil, berkata polis membawa Ahmad Ramzi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan lanjut dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah jika siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh 24 jam.
"Polis turut merampas dua komputer riba dan sebuah modem dari rumah Ahmad Ramzi di Kampung Kubang Parit di sini, kira-kira jam 3 petang, kelmarin," katanya di IPK di sini, semalam.
Hamzah berkata, siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah, Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memfitnah serta Seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan.
Jika sabit kesalahan Ahmad Ramzi boleh didenda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu.
Hamzah berkata, dengan tertangkapnya Ahmad Ramzi, polis percaya siasatan kes SMS itu dapat diselesaikan dan dapat meredakan ketidaktentuan dan kebimbangan orang ramai berikutan kes berkenaan.
Jumaat lalu, Polis memberi tempoh tiga hari hingga jam 3 petang Isnin (kelmarin) kepada Ahmad Ramzi supaya tampil ke IPD bagi membantu siasatan dan jika dia gagal berbuat demikian, waran tangkap akan dikeluarkan.
Hamzah berkata, polis sudah mengeluarkan makluman sejak 25 April lalu kepada keluarga Ahmad Ramzi supaya hadir bagi bantu siasatan kes itu.
Pada 14 April lalu, Rosol, Abdul Halim dan Zakaria Abdullah membuat laporan polis selepas menerima SMS ugutan yang dikatakan dihantar daripada nombor telefon mudah alih SUSK Menteri Besar.
Berikutan SMS itu, tujuh lagi Adun BN yang bersimpati dengan tiga Adun berkenaan bersepakat tidak hadir pada hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selagi tidak mendapat jaminan keselamatan polis.
Semua Adun berkenaan bagaimanapun hadir pada hari ketiga sidang DUN setelah diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan jaminan keselamatan daripada polis.
No comments:
Post a Comment